RFN Ke-2 menggariskan pembangunan berdasarkan strategi ‘Concentrated Decentralisation’. Pada dasarnya, strategi pembangunan ‘Concentrated Decentralisation’ akan menumpukan pertumbuhan pada masa depan di keempat-empat conurbation utama iaitu Kuala Lumpur, George Town, Johor Bahru dan Kuantan, sebagai pemangkin pertumbuhan utama. Namun demikian, untuk mencapai pembangunan mapan di kawasan luar dari conurbations utama, pembangunan juga akan ditumpukan di beberapa pusat bandar strategik yang terpilih yang berada di dalam lingkungan koridor pembangunan negara. Ini adalah untuk memanfaatkan potensi kawasan pertumbuhan dengan kemudahan aksesibiliti, mengelakkan urban sprawl, melindungi kampung-kampung dan desa serta mempercepatkan pembangunan dalam wilayah yang kurang maju.
Berdasarkan kepada strategi pembangunan tersebut, 41 dasar spatial negara telah digariskan, yang disokong dengan langkah-langkah pelaksanaan utama. Kesemuanya telah diaturkan bawah 8 tema, iaitu:-
Tema 1 : Pembentukan Rangka Spatial Negara
Tema 2 : Peningkatan Daya Saing Ekonomi Negara
Tema 3 : Pemuliharaan Sumber Pertanian dan Pembangunan Desa
Tema 4 : Pembangunan Pelancongan yang Mampan
Tema 5 : Pengurusan Petempatan Manusia
Tema 6 : Pemuliharaan Sumber Asli, Biodiversiti dan Alam Sekitar
Tema 7 : Penyepaduan Rangkaian Pengangkutan Bandar dan Negara
Tema 8 : Penyediaan Infrastruktur Bersesuaian
Dasar Spatial Negara bertujuan untuk mencipta corak petempatan spatial yang cekap disokong oleh rangkaian infrastruktur strategik yang bersepadu, bagi mengekalkan kemampanan di kawasan luar bandar, memelihara alam sekitar secara efektif dan menggunakan sumber semulajadi dengan berhemah. Dalam hal ini, teras utama Dasar Spatial Negara adalah seperti berikut:
- Aktiviti ekonomi berasaskan perbandaran perlu tertumpu di conurbations utama, iaitu Kuala Lumpur, George Town, Johor Bahru dan Kuantan, untuk meningkatkan kecekapan perancangan guna tanah dan infrastruktur. Di luar conurbations utama tersebut, aktiviti ekonomi Bandar perlu diletakkan di pusat pertumbuhan bandar terpilih di dalam koridor pembangunan yang dikenalpasti untuk meningkatkan kecekapan penggunaan infrastruktur sedia ada serta sumber semulajadi dan penduduk tempatan. Keutamaan perlu diberikan bagi mencapai ‘bandar padat’ yang cekap tenaga. Perumahan mampu milik dengan kemudahan komuniti yang mencukupi perlu disediakan di pusat-pusat bandar utama.
- Pusat Pertumbuhan Desa perlu dinaitaraf bagi keperluan penduduk luar bandar. Perancangan Luar Bandar Bersepadu hendaklah dilaksanakan memandangkan peranannya terhadap pusat-pusat bandar yang berhampiran dan potensi pembangunan pelancongan luar bandar dalam menyediakan peluang pekerjaan selain daripada pertanian, mempertingkatkan sistem pengangkutan awam ke pusat pekerjaan dan meningkatkan akses ke internet.
- Perancangan bagi wilayah yang kurang maju perlu menerapkan pendekatan koridor pembangunan bagi menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi bagi mengurangkan ketidak seimbangan pembangunan antara wilayah.
- Tumpuan juga perlu diberi bagi mempromosikan pembangunan kluster perindustrian dan ekonomi dalam kawasan conurbation bagi mencapai pembangunan ekonomi dan skala ekonomi.
- Kawasan Pertanian Utama (KPU) perlu dikekalkan terutamanya bagi tujuan pertanian, dan pembangunan bandar harus dikawal di kawasan ini.
- Zon Pembangunan Pelancongan di setiap negeri perlu tertumpu kepada produk niche di wilayah tersebut dan meningkatkan kualiti kemudahan dan daya tarikan yang sedia ada berdasarkan potensi lokasi dan sumber yang sedia ada, contohnya pelancongan resort kepulauan dan eko-pelancongan di wilayah pantai timur.
- Central Forest Spine (CFS) perlu dibentukkan sebagai asas bagi rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
- Rangka kerja perancangan spatial hendaklah menggabungkan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi terhadap kesan perubahan iklim.
- Sistem keretapi berkelajuan tinggi bersepadu negara perlu diwujudkan bagi melengkapi rangkaian lebuhraya sedia ada. Di pusat bandar utama, sistem pengangkutan awam bersepadu harus diadakan.
- Kemudahan dan infrastruktur jalur lebar perlu dilengkapi dengan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan ekonomi berimpak tinggi termasuk empat conurbation utama dan untuk masyarakat umum di kawasan lain. Pertumbuhan bandar siber dan pusat siber perlu diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan ICT yang lebih menyeluruh.
- Sasaran penduduk seperti yang dinyatakan dalam RFN2, di dalam lingkungan +/- 5% perbezaan mengikut kesesuaian oleh Jawatankuasa Perancangan Negeri, perlu dipatuhi sebagai asas kepada penyediaan Rancangan Struktur Negeri, perancangan infrastruktur awam dan kemudahan sosial utama negara, serta bagi kelulusan permohonan pembangunan swasta yang mempunyai kepentingan terhadap negara.