Rancangan Wilayah
PENGENALAN
Bahagian IIA, Seksyen 6A Akta Perancangan Bandar Dan Desa, 1976 (Akta 172) memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi sesuatu wilayah yang terdiri daripada satu kawasan yang terletak di dalam dua Negeri atau lebih. Antara tugas dan fungsi utama Jawatankuasa Perancang Wilayah adalah untuk menyediakan Rancangan Wilayah secara komprehensif bagi memandu dan menyelaras pemajuan sesuatu wilayah seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 6A(5)(b) Akta 172.
DEFINISI WILAYAH
Wilayah bermaksud sesuatu kawasan yang menjangkau dua atau lebih kawasan pentadbiran. Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, Akta 172, wilayah terdiri dari dua negeri atau lebih. Wilayah yang digariskan dalam RMK 9 merupakan Koridor Wilayah Ekonomi Negara yang meliputi kawasan yang lebih luas merangkumi beberapa negeri. Ianya terdiri daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Tengah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Wilayah Selatan. Perancangan wilayah di peringkat conurbation (city region) pula tertumpu kepada conurbation utama negara seperti yang diperuntukkan dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) iaitu Kuala Lumpur Conurbation, Georgetown Conurbation, Kuantan Conurbation dan Johor Bahru Conurbation.
RANCANGAN WILAYAH
Rancangan Wilayah (RW) merupakan dokumen perancangan yang mengandungi strategi pembangunan spatial untuk mencapai pertumbuhan dan pengagihan seimbang serta untuk mencapai rangka kerja infrastruktur yang bersepadu dan cekap. RW juga dilihat sebagai satu rancangan untuk melampaui sempadan pengurusan pertumbuhan kawasan-kawasan bandaraya atau conurbation (city region).
Perancangan Wilayah mempunyai dua peringkat iaitu rancangan wilayah bagi Koridor Wilayah Ekonomi Negara dan rancangan wilayah peringkat conurbation/bandaraya (city region). Fokus utama perancangan Koridor Wilayah Ekonomi Negara adalah untuk menyediakan peluang-peluang pembangunan ekonomi bagi negeri-negeri yang kurang membangun dan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar. Bagi conurbation (city region), fokus utamanya adalah penyelarasan dalam penyediaan rangkaian utama perkhidmatan perbandaran serta penyeragaman gunapakai kaedah-kaedah dan piawaian bagi menghasilkan satu suasana perbandaran yang setara, cekap dan efisien.